Tuesday, July 27, 2010

26

Aku pernah terbaca tentang sebuah artikel dua (2) tahun yang lalu. Artikel itu menyatakan bahawa manusia akan mencapai tingkat kematangan pemikiran tertinggi tatkala menjangkau umur 26 tahun. Ia dikhabarkan oleh seorang pemikir sosiologi Barat. Maksudnya, dari segi kebijaksanaan fungsi akal dan otak.

Pun demikian, jika manusia sedar akan hakikat itu, mereka pasti akan menggunakan pemikirannya dengan baik. Jika sebaliknya, mereka akan mengulangi perkara yang sama sahaja.

Tidak dinafikan, betapa aku bersetuju dengan pendapat tersebut. Aku fikir, perbahasan mengenai perkara ini boleh dijadikan renungan intelektual. Yakni, dalam memahami hakikat kehidupan sebenar.

Bagiku, semua manusia bisa mencapai tahap intelektual yang agung setelah menempuhi asam garam di dalam kehidupan. Dengan syarat, merenung kembali segala proses yang t'lah terjadi. Sejak dari kehidupan awal hingga kini.

(Pun begitu, aku tidak ingat di mana aku membaca artikel tersebut. Haha! Tak mengapa. Mungkin jika menerobos dunia internet, kelak pasti ketemu.)

26

Aku semakin menghampiri 26 tahun. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Bezanya kini, aku amat teruja. Berbanding sewaktu aku berada di peringkat umur 22. Di mana aku gerun menghampiri umur 23. Dan seterusnya pada ulang tahun ke-24 dan 25.

Kenapa ya..? Pada ketika itu, antara peringkat umur 22 dan 23, ia merupakan fasa peralihan. Umur 23 merupakan satu peristiwa di mana kita perlu memikirkan tentang soal kerjaya dan beberapa lagi tanggungjawab yang lain.

Kebetulan, aku baru sahaja selesai pengajian Degree di UiTM Shah Alam pada akhir tahun 2007. Semangat kehidupan kampus masih mekar. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, kehidupan ke alam dewasa telahpun bermula. Pelbagai cabaran baru yang tidak pernah ditempuhi t'lah dilalui. Ada juga yang berliku.

Kadangkala, beberapa rencana hidup melencong dari tujuan hakiki. Terutama, yang melibatkan soal kerjaya. Yang mana, ia tidak melalui kerangka asal. Haha!

Apa yang penting, segala pengalaman baru sejak berumur 23 hingga 25 akan dijadikan panduan di masa depan. Aku pasti menyelak kembali lembaran sejarah yang lalu. Menghidupkan semangat perjuangan matlamat yang asal. Menambah baik apa yang kurang jika segala rencana itu tidak mengikut spektrum yang diimpikan.

Umpama Kasut Puteh. Selagi kudratku masih ada, Kasut Puteh yang tersarung akan tetap Jalan ke depan.


BERANI BERUBAH~!

Sekian,

Monday, July 26, 2010

Rindu Kedah



Bang Rizal, sepupu aku. Sg. Petani Mei, 2007

Setiap kali pulang ke kampong abah aku di Pulau Langkawi, Kedah, aku dan famili tidak pernah lupa untuk singgah di Sungai Petani. Ini kerana aku ada sedara yang tinggal di sana.

Keunikan faktor sejarah, bahasa, sosio-budaya, makanan rasmi serta keindahan flora dan fauna menjadikan negeri Kedah berlainan sedikit jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

Meski negeri Kedah terletak di sebelah utara termasuk Pulau Pinang dan Perlis, perbezaan di antara tiga (3) buah negeri masih wujud.

Keindahan Pantai Chenang, Pekan Kuah, Padang Matsirat, Gunong Raya, Air Terjun, barangan bebas cukai dan lain-lain menjadi tarikan utama.

Pun begitu, ada satu (1) tempat yang aku sentiasa pergi; mengunjungi Makam Mahsuri. Faktor sejarahnya membuat aku terkesan. Sejarah Mahsuri atau nama sebenar Wan Mahsuri; juga berkait rapat dengan segala peristiwa di pulau Tersebut.

Kisah Wan Mahsuri kisah benar. Mungkin jika kita membaca cerita Mahsuri, kita menganggap ada beberapa perkara yang t'lah ditokok tambah. Hingga akhirnya, kita melabelkan Mahsuri hanyalah sebuah lagenda.

Perlu diperhalusi betapa gaya bahasa kesusateraan Melayu dahulu kala agung dan indah karyanya.

Semua karya bangsa Melayu sentiasa menyelitkan unsur-unsur perlambangan, asosiasi atau metafora di dalam menyatakan sesuatu makna.

Bahkan, para penulis kesusateraan Melayu dahulu kala mengaitkan unsur-unsur flora dan fauna dalam kehidupan seharian. Bagi yang tidak memahami, segala penakrifan yang asing itu akan dianggap sebagai mitos.

Berbalik kepada Mahsuri. Pangkal gelaran 'Wan' kepada nama Mahsuri itu sendiri mempunyai makna yang tersirat:

1- Pangkal 'Wan' adalah keturunan bangsawan dan pemerintah. Mahsuri mempunyai darah kacukan Arab; dan

2- Kawasan tempat tinggal Mahsuri iaitu di sekitar Padang Matsirat dan Ulu Melaka, Pulau Langkawi merupakan tempat DiRaja Kesultanan Kedah.



Sekian,

Merintis ke Depan!

Tahun 2006 hingga 2008 merupakan era 'blogging' yang sentiasa mengasak dalam kehidupan harian aku. Blogging bagaikan 'karya falsafah' yang mengasyikkan. Lambakan penulisan kritis sentiasa tergarap. Mencengkam waktu hampir setiap minggu.

Apa yang pasti, perkembangan teknologi internet yang sangat pantas membuatkan aku tidak mahu ketinggalan. Dalam erti kata yang holistik, amatlah rugi jika kita tidak mengambil kesempatan yang ada.

Pun demikian, hobi menulis blog mulai suram tatkala aku melangkah ke alam kerjaya. Kesuntukan masa menjadi salah satu faktor. Di samping itu, terdapat beberapa sebab yang lain. Transisi itu bermula seawal tahun 2009.

Dahulu kala, aku gemar berkarya di dua buah (2) blog; di Friendster dan ... :). Jika ia bersifat sensitif, aku akan menulis di Friendster, yang mana hanya aku dan teman-teman rapat sahaja yang bisa membacanya. Maknanya, ia bersifat sulit.


Blog ...


Sebaliknya, jika di blog ..., ia menjurus kepada isu-isu semasa. Digarap untuk tatapan satu dunia. Tidak melibatkan isu-isu peribadi. Yang sedihnya, blog ... akhirnya pupus. Kerana keadaan membuatkan aku tidak lagi boleh menulis isu-isu sensitif.

Walau bagaimanapun, aku puas. Setidaknya, aku menjadi sebahagian daripada anak-anak muda yang kritis terhadap kepimpinan lemah. Meluahkan pendapat di blog ... itu.

Bezanya hanyalah, aku menyokong Kerajaan. Tetapi, aku kritis terhadap sikap sang penguasa yang tidak amanah dan khianat. Sekonyong-konyong berpuitis untuk membela rakyat jelata dan mendaulatkan tanah air. Hakikatnya, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang hanyalah propaganda temberang.

Peralihan kepimpinan pada bulan April 2009 membuka era baru. Patah balik ke arah visi yang asal. Bagaikan horizon yang muncul di ufuk timur. Menyinari semula hari-hari yang gelap.

Era Peralihan

Ah! Lupakan kisah-kisah lama. Ironi, aku masih mencari erti hidup yang hakiki. Selagi kasut puteh masih dalam sarungan, selagi itulah agenda berani berubah merintis ke depan! Dasawarsa baru.

Sekian,