Sunday, December 6, 2009

Fantasi


Kanak-kanak gemar berfantasi ketika kecil. Mereka mula berfantasi seawal umur 3 bulan. Apabila aku mendapat anak buah pada tahun lepas, aku melihat proses tumbesaran tersebut.

Antara perkara utama yang dapat disaksikan ialah; mendengar, melihat, menyentuh barang. Kini anak buah aku sudah berumur 1 tahun 2 bulan. Lahir pada 16 September 2008.

Setelah aku perhatikan ragam tersebut, aku cermin diri aku. Aku pasti yang aku pernah menjadi sapertinya. Aku mula bertanyakan hal itu kepada mama dan abah serta orang sekeliling yang pernah wujud ketika aku kecil. Jawapannya serupa.

Setelah itu, aku baru teringat diri aku ketika kecil dalam lingkungan 3-5 tahun.

Aku pernah dibesarkan di kota dan juga di kampung. Ketika aku di kampung, ada sebuah dinding rumah Tok Wan yang unik. Coraknya seakan peta dunia. Firasat aku ketika adalah; itulah bentuk dunia yang sabenar!

Aku juga suka perhatikan awan, burung-burung terbang melayang, pokok-pokok yang tinggi, bukit bukau dan lain-lain yang menenangkan fikiran. Selain itu, ada sebuah tadika Kemas (kepunyaan UMNO) yang terletak di depan rumah Tok Wan. Terdapat 3 tiang bendera yang terpacak di situ. Salah satunya ialah bendera Malaysia.

Kadangkala, aku juga menunggu di luar rumah untuk melihat Keretapi Tanah Melayu (KTM) serta kapal terbang Malaysia Airlines di awan. Aku teruja setiap kali terdengar bunyian enjin yang kuat kedengaran.

Segala yang diperhatikan membuatkan aku berkhayal. Aku terjemahkannya melalui lukisan. Tok Wan selalu menyediakan kertas-kertas kosong yang tidak diguna pakai serta alat lukis saperti krayon, pensel dan pen. Mungkin kerana dia tak mahu aku menconteng dinding lagi barangkali.

Meski aku terjemahkan apa yang aku rasakan melalui seni, aku ada pasang impian untuk merasai perkara-perkara tersebut. Setelah beberapa lama, hajat itu tertunai.

Dalam hidup, kita sentiasa memasang impian. Jika kita terjemahkan segalanya melalui fantasi/visualisasi, kita sabenarnya melihat masa depan. Segala impian pasti jadi nyata kerana ada dorongan ke arah impian itu.

Bagi maksud itu, jalanlah ke depan!


We create HOPE over DOUBT.

No comments:

Post a Comment