Monday, October 18, 2010

Adat Melayu # Siri 2

Mengikut sejarah, dikatakan asal-usul Adat Melayu merupakan warisan purba kala sejak dari zaman Iskandar Dzulkarnain. Baginda dianggap sebagai nenek moyang Raja-Raja Melayu.

Iskandar Dzulkarnain merupakan seorang tokoh yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S. (lebih kurang 4000 tahun yang lalu). Baginda merupakan seorang Raja yang menakhluki tujuh (7) benua dan tujuh (7) lautan di planet Bumi.

(Hingga kini, tiada siapa yang tahu siapakah gerangan sebenar 'Iskandar Dzulkarnain' . Kerana ia masih menjadi persoalan para pengkaji. Pokoknya, baginda hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S. Tiada catatan terperinci mengenainya, melainkan Al-Qur'an).

Iskandar Dzulkarnain pernah sampai ke wilayah Nusantara. Tanah terakhir yang pernah dijejaki oleh Baginda ialah Tanah Andalas (Palembang, Sumatera). Baginda merupakan moyang kepada Demang Lebar Daun, yang menjadi Raja di Negeri Palembang. Asal usul 'Melayu' bermula pada zaman itu.

Demang Lebar Daun merupakan tokoh pemimpin Melayu terawal yang menggagaskan Adat Melayu. Bahasa Melayu mulai berkembang pada zamannya. Baginda juga mewariskan semua Bendahara yang menjadi Raja-Raja selepas kemangkatannya. Maksudnya, sebelum pangkat 'Sultan' digunapakai, (bermula ketika era Islam), Raja-Bendahara merupakan pemerintah asal di wilayah-wilayah Nusantara. Asal Melayu juga, Bendahara yang memulakannya.

Perkembangan Islam di wilayah-wilayah Nusantara bermula akhir tahun 700 Masihi. Ia bermula dari kegiatan perdagangan antarabangsa yang melibatkan Tanah Arab, China dan India. Perkembangan Islam turut berkembang melalui perkahwinan campur. Antara wilayah terawal yang menerima Islam adalah Empayar Kedah Tua dan Pasai (Acheh).

Begitulah sejarahnya secara ringkas. Sebenarnya panjang lagi untuk ditulis. Berbalik kepada Adat melayu.

Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Adat Melayu mulai saling melengkapi. Maksudnya, ia berteraskan dua (2) sendi:

1- HUKUM ADAT; Meliputi Kanun (peraturan turun-temurun oleh pemerintah), Resam (kelaziman), Faham (logika) dan Adat Istiadat.

2- HUKUM SYARIAT; ajaran agama Islam.

Sambung - Siri ke-3 kelak

P/S: Kebanyakan sumber-sumber idea yang saya dapati adalah melalui rujukan karya (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman, Manuskrip Undang-Undang Kedah dan sejarah-sejarah lain.

No comments:

Post a Comment