Sunday, October 24, 2010

Bumi Cinta; Suatu Petunjuk



Sejak dahulu, aku amat jarang meminati karya novel-novel Melayu. Untuk membelinya jauh sekali. Melainkan novel yang mengusik akal, membuka minda untuk bereksplorasi, gaya Bahasa Melayu yang cermat serta susunan penceritaan yang sempurna.

Sejak kecil, jika ada pun novel-novel Melayu yang aku baca, ia hanya berkisar tentang siri penyiasatan. Sebagai contoh; novel Hardy Boys yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Itu pun novel-novel kepunyaan abang-abang aku.

Hasil pemerhatian selama ini, aku dapati kebanyakan novel Melayu di pasaran tidak berpijak di bumi nyata. Peristiwa yang dipaparkan ada unsur plagiat dari sumber-sumber lain. Mungkin ia berlaku demi untuk memenuhi minat pasaran semasa. Kesannya, ia tidak membantu pembaca mengembangkan minda. Malahan, untuk melangkaui pemikiran infiniti pun jauh sekali.

Sebagai contoh; novel-novel Melayu Malaysia mempunyai banyak persamaan. Yakni; kisah cinta. Kisah cinta yang dipaparkan terlalu 'cliche'. Kebanyakannya 'happy ending'. Sang jejaka biasanya tampan, berkeperibadian murni dan hormat ibu bapa. Manakala, sang wanita pula cantik, suci, menjaga tata susila adat ketimuran. Seolah-olah tiada cacat cela. Gaya penceritaan pun disempitkan di dalam ruang yang kecil.

Novel-novel Melayu picisan ini bagaikan seekor katak yang hidup bawah tempurung. Langsung tidak mengusik akal untuk membuatkan pembaca memikirkan soal universal. Melainkan emosi bebalisme semata-mata.

Pun demikian, bukan semua novel Melayu Malaysia beranalogi seperti itu. Bahkan, ada yang memiliki karya yang baik. Setanding dengan negara-negara lain. Karya Pak Sako, Usman Awang, Ramli Awang Murshid, Faisal Tehrani dan beberapa lagi berjaya membuatkan para pembaca berfikir. Pembaca pasti tidak akan menerima bulat-bulat idea yang digarap, melainkan mencabar pembaca untuk berfikiran kritis.

Beberapa bulan yang lalu, aku ada membeli sebuah novel yang mendapat anugerah dari Sasterawan Pemenang Penghargaan SASTERA NUSANTARA peringkat Asia Tenggara. Iaitu; Bumi Cinta. Karya rakyat Indonesia yang bernama; Habiburrahman El-Shirazy. Bahkan, karya beliau seperti 'Ayat-Ayat Cinta' pernah digarap menjadi sebuah filem hebat~!

Aku tertarik untuk membelinya setelah membelek belakang buku tersebut. Bukan setakat cerita cinta. Kerana ada disebutkan tentang persoalan universal. Persoalan yang melingkari pemikiran bangsa Timur dengan Barat.

Semasa aku membaca karya itu, aku cuba untuk mencari kecacatan dan kesalahan yang boleh diperdebatkan. Pun begitu, setelah aku menghabiskan bacaannya, aku terkesima..

Inilah kali pertama aku sanjung penulisannya. Kerana banyak perkara yang aku setuju; dalam menerokai kebenaran hakiki. Penulisannya selari dengan pemikiran aku. Terutama, jawapan mengenai agama, persoalan aqidah, falsafah hidup, jatidiri, sejarah, peradaban, tamadun, rencana jahat Zionism serta hubungan globalisasi.



Dek obsesi dengan novel itu, aku ada melukis salah seorang tokoh rekaan yang bernama Linor Yelinek. Nama lainnya; Sofia Corsova. Dia asalnya seorang pengkhianat. Lalu bertukar menjadi seorang pejuang! Aku fikir dia bisa dijadikan lagenda wanita contoh di Akhir Zaman. :p

Kenapa aku memilih Sofia Corsova sebagai lagenda...? Kerana dia bisa menghayati erti 'BERANI BERUBAH!, tatkala mendapat wahyu daripada Allah SWT. Di hujung waktu sebelum pergi. Dia pergi sebagai Sang Lagenda dalam keadaan yang mulia; husnul khatimah.

Aku bersetuju dengan seorang pemikir yang tidak dikenali. Jika kita hidup dan tinggal di negara kita, usah sempitkan ruang pemikiran dengan keadaan sekeliling sahaja. Kerana mungkin keadaan sekeliling kita ada berkait rapat dengan tempat-tempat lain dari segi nilai sejarah.

Contohnya; sebelum wujudnya Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand (dari Segenting Kra ke wilayah Patani), kita serumpun. Kita banyak berkongsi pegangan, sosio-budaya dan adat resam. Hal ini turut diakui oleh Pedagang dan Penjajah Barat, sebaik sahaja menemui wilayah Nusantara ini, mereka menggelar; Malay Archipelago.

Kenapa perlu berkelahi tentang soal kecil seperti 'Tarian Pendek', lagu Kebangsaan 'NegaraKu' dan lain-lain lagi? Sedangkan kita ada ruang dan masa untuk berkerjasama dan bersatu padu dalam pelbagai perkara.

Sekian, terima kasih.

P/S: AKAL ANUGERAH ALLAH SWT YANG PALING ISTIMEWA KEPADA MANUSIA.

No comments:

Post a Comment