Monday, October 18, 2010

Adat Melayu # Siri 2

Mengikut sejarah, dikatakan asal-usul Adat Melayu merupakan warisan purba kala sejak dari zaman Iskandar Dzulkarnain. Baginda dianggap sebagai nenek moyang Raja-Raja Melayu.

Iskandar Dzulkarnain merupakan seorang tokoh yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S. (lebih kurang 4000 tahun yang lalu). Baginda merupakan seorang Raja yang menakhluki tujuh (7) benua dan tujuh (7) lautan di planet Bumi.

(Hingga kini, tiada siapa yang tahu siapakah gerangan sebenar 'Iskandar Dzulkarnain' . Kerana ia masih menjadi persoalan para pengkaji. Pokoknya, baginda hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S. Tiada catatan terperinci mengenainya, melainkan Al-Qur'an).

Iskandar Dzulkarnain pernah sampai ke wilayah Nusantara. Tanah terakhir yang pernah dijejaki oleh Baginda ialah Tanah Andalas (Palembang, Sumatera). Baginda merupakan moyang kepada Demang Lebar Daun, yang menjadi Raja di Negeri Palembang. Asal usul 'Melayu' bermula pada zaman itu.

Demang Lebar Daun merupakan tokoh pemimpin Melayu terawal yang menggagaskan Adat Melayu. Bahasa Melayu mulai berkembang pada zamannya. Baginda juga mewariskan semua Bendahara yang menjadi Raja-Raja selepas kemangkatannya. Maksudnya, sebelum pangkat 'Sultan' digunapakai, (bermula ketika era Islam), Raja-Bendahara merupakan pemerintah asal di wilayah-wilayah Nusantara. Asal Melayu juga, Bendahara yang memulakannya.

Perkembangan Islam di wilayah-wilayah Nusantara bermula akhir tahun 700 Masihi. Ia bermula dari kegiatan perdagangan antarabangsa yang melibatkan Tanah Arab, China dan India. Perkembangan Islam turut berkembang melalui perkahwinan campur. Antara wilayah terawal yang menerima Islam adalah Empayar Kedah Tua dan Pasai (Acheh).

Begitulah sejarahnya secara ringkas. Sebenarnya panjang lagi untuk ditulis. Berbalik kepada Adat melayu.

Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Adat Melayu mulai saling melengkapi. Maksudnya, ia berteraskan dua (2) sendi:

1- HUKUM ADAT; Meliputi Kanun (peraturan turun-temurun oleh pemerintah), Resam (kelaziman), Faham (logika) dan Adat Istiadat.

2- HUKUM SYARIAT; ajaran agama Islam.

Sambung - Siri ke-3 kelak

P/S: Kebanyakan sumber-sumber idea yang saya dapati adalah melalui rujukan karya (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman, Manuskrip Undang-Undang Kedah dan sejarah-sejarah lain.

Friday, October 15, 2010

Adat Melayu # Siri 1

Sejak tahun 2008, saya mulai giat mengkaji sejarah Nusantara dengan lebih terperinci dari pelbagai sumber. Apabila menyelusuri sejarah pembinaan negara bangsa, sudah pasti ia juga berkait rapat dengan pemerintahan dan peradaban sesebuah tamadun.

Melaluinya, saya menemukan fakta terpenting yang ada hubung kait dengan Raja-Raja Melayu.

Tahun lepas, saya ada membeli sebuah buku yang dikarang oleh (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman. Yang bertajuk; 'MENJEJAKI WARISAN MELAYU ISLAM BERAJA'. Ia menjadi kelangsungan dari kajian saya sebelum ini. Buku ini dibeli sekadar untuk menambahkan lagi pengetahuan saya berkenaan sejarah tanah air kita.

Saya akan menghuraikan secara ringkas dari sumber beliau mengenai 'Adat Melayu'.

“Adat bersendikan syarak,
Syarak bersendikan kitab Allah SWT,
Syarak mengata, adat memakai,
Cermin yang tidak kabur,
Pelita yang tidak padam,”

Di sini saya sampaikan perbilangan adat yang menjadi teras kepada pemerintahan masyarakat Melayu Islam tradisi sejak berzaman. Sejak bilakah ia bermula...?

Tunggu dan nantikan huraian dalam siri kedua :)

Sunday, October 10, 2010

Berkawan

Rasulullah SAW bersabda:

"Berkawan dengan orang pinta seperti berdiri di sisi penjual minyak wangi. Kalau tak dapat minyaknya, paling kurang tercium wanginya. Bergaul dengan orang jahil seperti berdiri di sisi tukang besi. Kalau tak kena baranya, paling kurang kena asapnya,"

(Riwayat Muslim no. 2628)

Saturday, October 9, 2010

Sibuk

Sudah lama aku tidak menjenguk blog ini. Kadang kala, terasa rindu untuk menulis semula. Menulis tentang apa-apa perkara yang berada di benak fikiran.

Aku mulai dingin untuk menulis sejak aku membuang blog lama. Lalu aku gantikan dengan blog kasut puteh ini.

Aku fikir, dengan adanya kasut puteh, aku bisa menulis seperti biasa. Tetapi, faktor kesibukan hidup telah membuatkan aku menunda impian itu.

Jika aku aktif semula menulis blog, aku pasti akan menulis tentang isu-isu yang lebih luas, membuka minda dan infiniti seperti blog terdahulu.

Jam kini 4.26 pagi, hari Ahad. Aku biasanya tidak suka hari Ahad. Kerana memikirkan hari Isnin. Yang bagiku hari membosankan dalam semua hari. Hehe.

Okaylah. Aku ingin berundur seketika. Aku perlu tidur kerana banyak tugasan kerja yang perlu diselesaikan.

Sekian,

Assalamualaikum WRT...:)

Tuesday, July 27, 2010

26

Aku pernah terbaca tentang sebuah artikel dua (2) tahun yang lalu. Artikel itu menyatakan bahawa manusia akan mencapai tingkat kematangan pemikiran tertinggi tatkala menjangkau umur 26 tahun. Ia dikhabarkan oleh seorang pemikir sosiologi Barat. Maksudnya, dari segi kebijaksanaan fungsi akal dan otak.

Pun demikian, jika manusia sedar akan hakikat itu, mereka pasti akan menggunakan pemikirannya dengan baik. Jika sebaliknya, mereka akan mengulangi perkara yang sama sahaja.

Tidak dinafikan, betapa aku bersetuju dengan pendapat tersebut. Aku fikir, perbahasan mengenai perkara ini boleh dijadikan renungan intelektual. Yakni, dalam memahami hakikat kehidupan sebenar.

Bagiku, semua manusia bisa mencapai tahap intelektual yang agung setelah menempuhi asam garam di dalam kehidupan. Dengan syarat, merenung kembali segala proses yang t'lah terjadi. Sejak dari kehidupan awal hingga kini.

(Pun begitu, aku tidak ingat di mana aku membaca artikel tersebut. Haha! Tak mengapa. Mungkin jika menerobos dunia internet, kelak pasti ketemu.)

26

Aku semakin menghampiri 26 tahun. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Bezanya kini, aku amat teruja. Berbanding sewaktu aku berada di peringkat umur 22. Di mana aku gerun menghampiri umur 23. Dan seterusnya pada ulang tahun ke-24 dan 25.

Kenapa ya..? Pada ketika itu, antara peringkat umur 22 dan 23, ia merupakan fasa peralihan. Umur 23 merupakan satu peristiwa di mana kita perlu memikirkan tentang soal kerjaya dan beberapa lagi tanggungjawab yang lain.

Kebetulan, aku baru sahaja selesai pengajian Degree di UiTM Shah Alam pada akhir tahun 2007. Semangat kehidupan kampus masih mekar. Sebaik sahaja menamatkan pengajian, kehidupan ke alam dewasa telahpun bermula. Pelbagai cabaran baru yang tidak pernah ditempuhi t'lah dilalui. Ada juga yang berliku.

Kadangkala, beberapa rencana hidup melencong dari tujuan hakiki. Terutama, yang melibatkan soal kerjaya. Yang mana, ia tidak melalui kerangka asal. Haha!

Apa yang penting, segala pengalaman baru sejak berumur 23 hingga 25 akan dijadikan panduan di masa depan. Aku pasti menyelak kembali lembaran sejarah yang lalu. Menghidupkan semangat perjuangan matlamat yang asal. Menambah baik apa yang kurang jika segala rencana itu tidak mengikut spektrum yang diimpikan.

Umpama Kasut Puteh. Selagi kudratku masih ada, Kasut Puteh yang tersarung akan tetap Jalan ke depan.


BERANI BERUBAH~!

Sekian,

Monday, July 26, 2010

Rindu Kedah



Bang Rizal, sepupu aku. Sg. Petani Mei, 2007

Setiap kali pulang ke kampong abah aku di Pulau Langkawi, Kedah, aku dan famili tidak pernah lupa untuk singgah di Sungai Petani. Ini kerana aku ada sedara yang tinggal di sana.

Keunikan faktor sejarah, bahasa, sosio-budaya, makanan rasmi serta keindahan flora dan fauna menjadikan negeri Kedah berlainan sedikit jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

Meski negeri Kedah terletak di sebelah utara termasuk Pulau Pinang dan Perlis, perbezaan di antara tiga (3) buah negeri masih wujud.

Keindahan Pantai Chenang, Pekan Kuah, Padang Matsirat, Gunong Raya, Air Terjun, barangan bebas cukai dan lain-lain menjadi tarikan utama.

Pun begitu, ada satu (1) tempat yang aku sentiasa pergi; mengunjungi Makam Mahsuri. Faktor sejarahnya membuat aku terkesan. Sejarah Mahsuri atau nama sebenar Wan Mahsuri; juga berkait rapat dengan segala peristiwa di pulau Tersebut.

Kisah Wan Mahsuri kisah benar. Mungkin jika kita membaca cerita Mahsuri, kita menganggap ada beberapa perkara yang t'lah ditokok tambah. Hingga akhirnya, kita melabelkan Mahsuri hanyalah sebuah lagenda.

Perlu diperhalusi betapa gaya bahasa kesusateraan Melayu dahulu kala agung dan indah karyanya.

Semua karya bangsa Melayu sentiasa menyelitkan unsur-unsur perlambangan, asosiasi atau metafora di dalam menyatakan sesuatu makna.

Bahkan, para penulis kesusateraan Melayu dahulu kala mengaitkan unsur-unsur flora dan fauna dalam kehidupan seharian. Bagi yang tidak memahami, segala penakrifan yang asing itu akan dianggap sebagai mitos.

Berbalik kepada Mahsuri. Pangkal gelaran 'Wan' kepada nama Mahsuri itu sendiri mempunyai makna yang tersirat:

1- Pangkal 'Wan' adalah keturunan bangsawan dan pemerintah. Mahsuri mempunyai darah kacukan Arab; dan

2- Kawasan tempat tinggal Mahsuri iaitu di sekitar Padang Matsirat dan Ulu Melaka, Pulau Langkawi merupakan tempat DiRaja Kesultanan Kedah.



Sekian,

Merintis ke Depan!

Tahun 2006 hingga 2008 merupakan era 'blogging' yang sentiasa mengasak dalam kehidupan harian aku. Blogging bagaikan 'karya falsafah' yang mengasyikkan. Lambakan penulisan kritis sentiasa tergarap. Mencengkam waktu hampir setiap minggu.

Apa yang pasti, perkembangan teknologi internet yang sangat pantas membuatkan aku tidak mahu ketinggalan. Dalam erti kata yang holistik, amatlah rugi jika kita tidak mengambil kesempatan yang ada.

Pun demikian, hobi menulis blog mulai suram tatkala aku melangkah ke alam kerjaya. Kesuntukan masa menjadi salah satu faktor. Di samping itu, terdapat beberapa sebab yang lain. Transisi itu bermula seawal tahun 2009.

Dahulu kala, aku gemar berkarya di dua buah (2) blog; di Friendster dan ... :). Jika ia bersifat sensitif, aku akan menulis di Friendster, yang mana hanya aku dan teman-teman rapat sahaja yang bisa membacanya. Maknanya, ia bersifat sulit.


Blog ...


Sebaliknya, jika di blog ..., ia menjurus kepada isu-isu semasa. Digarap untuk tatapan satu dunia. Tidak melibatkan isu-isu peribadi. Yang sedihnya, blog ... akhirnya pupus. Kerana keadaan membuatkan aku tidak lagi boleh menulis isu-isu sensitif.

Walau bagaimanapun, aku puas. Setidaknya, aku menjadi sebahagian daripada anak-anak muda yang kritis terhadap kepimpinan lemah. Meluahkan pendapat di blog ... itu.

Bezanya hanyalah, aku menyokong Kerajaan. Tetapi, aku kritis terhadap sikap sang penguasa yang tidak amanah dan khianat. Sekonyong-konyong berpuitis untuk membela rakyat jelata dan mendaulatkan tanah air. Hakikatnya, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang hanyalah propaganda temberang.

Peralihan kepimpinan pada bulan April 2009 membuka era baru. Patah balik ke arah visi yang asal. Bagaikan horizon yang muncul di ufuk timur. Menyinari semula hari-hari yang gelap.

Era Peralihan

Ah! Lupakan kisah-kisah lama. Ironi, aku masih mencari erti hidup yang hakiki. Selagi kasut puteh masih dalam sarungan, selagi itulah agenda berani berubah merintis ke depan! Dasawarsa baru.

Sekian,