Tuesday, October 26, 2010

Tukang Tilik Hari Kiamat

Isu hangat tentang Hari Kiamat yang dikhabarkan akan berlaku pada tahun 2012 di media massa atau diskusi tidak mendatangkan apa-apa faedah langsung.

Hari ini, kita digemparkan pula mengenai tahun 2013. Matahari sedang berada pada tahap yang kritikal. Kemungkinan besar ia akan memberi kesan kepada planet bumi. Ramai tukang tilik menginjakkan tarikh asal 2012 kepada 2013, sebagai Hari Kiamat pula.

Ironi, golongan yang menjadi 'tukang tilik' meramalkan Hari Kiamat pada tarikh-tarikh tertentu hanya akan menimbulkan resah serta polemik di kalangan manusia sahaja. Sudah beribu kali ramalan seperti ini dibangkitkan sejak dua (2) abad yang lepas. Sebaik sahaja tarikh ditetapkan sedang berlangsung, tiada apa-apa pun yang terjadi.

Melainkan, golongan yang berpegang dengan agama Islam akan menidakkan ramalan sia-sia ini. Hari Kiamat merupakan rahsia Allah SWT. Tiada siapa pun yang tahu termasuk para Malaikat dan Nabi/Rasul. Di dalam kitab Al-Qur'an telahpun ditegaskan.

Memang kita diwajibkan percaya kepada Hari Kiamat. Bahkan ia termaktub di dalam Rukun Iman. Pun begitu, kita dilarang mempercayai ramalan yang direkayasa oleh para tukang tilik seperti ini.

Harapan saya, agar umat Islam tidak terpengaruh dengan propaganda palsu tentang Hari Kiamat yang diramal oleh pihak-pihak berkepentingan.

Monday, October 25, 2010

Hikayat Donat



Pada bulan April 2010 yang lalu, aku berkesempatan untuk menikmai donat Krispy Kreme Doughnuts. Hehehe :p

Krispy Kreme mulai hadir ke tanah air sejak Oktober 2009 lagi. Namun begitu, semasa aku datang menjengah ke lokasi, restoran ini masih dalam penyelenggaraan.

Kewujudan tentang Krispy Kreme diketahui sejak tahun 2003 lagi. Melalui buku teks Principles of Marketing yang dikarang oleh seorang pendeta terhebat Marketing; Philip Kotler sewaktu menuntut jurusan Diploma.

Santapan pertama: kopi panas dengan dua (2) keping donat coklat dan Original Glaze

Sejarah tentang Krispy Kreme bermula sejak tahun 1933, sebelum Perang Dunia Ke-2 meletus. Ia diasaskan oleh Vernon Rudolph di Paducah, Kentucky, Amerika Syarikat.


Santapan Kedua: masih dengan Original Glaze bersama Cheese, tak silap aku :p

Rudolph menjual donat dengan menunggang basikal pada permulaan awal perniagaannya. Setelah modal pusingan semakin bercambah, perniagaannya menapak ke depan. Dengan membuka restoran pertama Krispy Kreme di Charlotte Pike, Nashville, Tennesse pada tahun 1933.

Setelah itu, operasi menjual donat untuk hidangan rakyat Amerika menjadi semakin hebat setelah beliau berpindah ke Winston-Salem, North Carolina (sekarang ini sudah jadi ibu pejabat)

Okay! Begitulah sejarah ringkas mengenai asal-usul donat ini. Donat yang paling terkenal dan terklasik sekali adalah - Original Glaze. Ianya masih wujud hingga sekarang.

P/S: Takleh lawan donat made in Malaysia yang aku beli di tepi jalan :)


Sunday, October 24, 2010

Bumi Cinta; Suatu Petunjuk



Sejak dahulu, aku amat jarang meminati karya novel-novel Melayu. Untuk membelinya jauh sekali. Melainkan novel yang mengusik akal, membuka minda untuk bereksplorasi, gaya Bahasa Melayu yang cermat serta susunan penceritaan yang sempurna.

Sejak kecil, jika ada pun novel-novel Melayu yang aku baca, ia hanya berkisar tentang siri penyiasatan. Sebagai contoh; novel Hardy Boys yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Itu pun novel-novel kepunyaan abang-abang aku.

Hasil pemerhatian selama ini, aku dapati kebanyakan novel Melayu di pasaran tidak berpijak di bumi nyata. Peristiwa yang dipaparkan ada unsur plagiat dari sumber-sumber lain. Mungkin ia berlaku demi untuk memenuhi minat pasaran semasa. Kesannya, ia tidak membantu pembaca mengembangkan minda. Malahan, untuk melangkaui pemikiran infiniti pun jauh sekali.

Sebagai contoh; novel-novel Melayu Malaysia mempunyai banyak persamaan. Yakni; kisah cinta. Kisah cinta yang dipaparkan terlalu 'cliche'. Kebanyakannya 'happy ending'. Sang jejaka biasanya tampan, berkeperibadian murni dan hormat ibu bapa. Manakala, sang wanita pula cantik, suci, menjaga tata susila adat ketimuran. Seolah-olah tiada cacat cela. Gaya penceritaan pun disempitkan di dalam ruang yang kecil.

Novel-novel Melayu picisan ini bagaikan seekor katak yang hidup bawah tempurung. Langsung tidak mengusik akal untuk membuatkan pembaca memikirkan soal universal. Melainkan emosi bebalisme semata-mata.

Pun demikian, bukan semua novel Melayu Malaysia beranalogi seperti itu. Bahkan, ada yang memiliki karya yang baik. Setanding dengan negara-negara lain. Karya Pak Sako, Usman Awang, Ramli Awang Murshid, Faisal Tehrani dan beberapa lagi berjaya membuatkan para pembaca berfikir. Pembaca pasti tidak akan menerima bulat-bulat idea yang digarap, melainkan mencabar pembaca untuk berfikiran kritis.

Beberapa bulan yang lalu, aku ada membeli sebuah novel yang mendapat anugerah dari Sasterawan Pemenang Penghargaan SASTERA NUSANTARA peringkat Asia Tenggara. Iaitu; Bumi Cinta. Karya rakyat Indonesia yang bernama; Habiburrahman El-Shirazy. Bahkan, karya beliau seperti 'Ayat-Ayat Cinta' pernah digarap menjadi sebuah filem hebat~!

Aku tertarik untuk membelinya setelah membelek belakang buku tersebut. Bukan setakat cerita cinta. Kerana ada disebutkan tentang persoalan universal. Persoalan yang melingkari pemikiran bangsa Timur dengan Barat.

Semasa aku membaca karya itu, aku cuba untuk mencari kecacatan dan kesalahan yang boleh diperdebatkan. Pun begitu, setelah aku menghabiskan bacaannya, aku terkesima..

Inilah kali pertama aku sanjung penulisannya. Kerana banyak perkara yang aku setuju; dalam menerokai kebenaran hakiki. Penulisannya selari dengan pemikiran aku. Terutama, jawapan mengenai agama, persoalan aqidah, falsafah hidup, jatidiri, sejarah, peradaban, tamadun, rencana jahat Zionism serta hubungan globalisasi.



Dek obsesi dengan novel itu, aku ada melukis salah seorang tokoh rekaan yang bernama Linor Yelinek. Nama lainnya; Sofia Corsova. Dia asalnya seorang pengkhianat. Lalu bertukar menjadi seorang pejuang! Aku fikir dia bisa dijadikan lagenda wanita contoh di Akhir Zaman. :p

Kenapa aku memilih Sofia Corsova sebagai lagenda...? Kerana dia bisa menghayati erti 'BERANI BERUBAH!, tatkala mendapat wahyu daripada Allah SWT. Di hujung waktu sebelum pergi. Dia pergi sebagai Sang Lagenda dalam keadaan yang mulia; husnul khatimah.

Aku bersetuju dengan seorang pemikir yang tidak dikenali. Jika kita hidup dan tinggal di negara kita, usah sempitkan ruang pemikiran dengan keadaan sekeliling sahaja. Kerana mungkin keadaan sekeliling kita ada berkait rapat dengan tempat-tempat lain dari segi nilai sejarah.

Contohnya; sebelum wujudnya Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand (dari Segenting Kra ke wilayah Patani), kita serumpun. Kita banyak berkongsi pegangan, sosio-budaya dan adat resam. Hal ini turut diakui oleh Pedagang dan Penjajah Barat, sebaik sahaja menemui wilayah Nusantara ini, mereka menggelar; Malay Archipelago.

Kenapa perlu berkelahi tentang soal kecil seperti 'Tarian Pendek', lagu Kebangsaan 'NegaraKu' dan lain-lain lagi? Sedangkan kita ada ruang dan masa untuk berkerjasama dan bersatu padu dalam pelbagai perkara.

Sekian, terima kasih.

P/S: AKAL ANUGERAH ALLAH SWT YANG PALING ISTIMEWA KEPADA MANUSIA.

Saturday, October 23, 2010

Subjek Sejarah Wajib Tahun 2013

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa subjek Sejarah di peringkat sekolah menengah akan diwajibkan untuk ‘Lulus’ dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia bertujuan untuk memupuk kesedaran dan keyakinan dalam menghayati keagungan sejarah tanah air. Agar ia menjadi suatu pedoman.

Selain itu, Subjek ini juga turut menjadi sebahagian dari syarat kukuh sebelum melangkah ke menara gading. Projek ini akan dilaksanakan pada tahun 2013.

(Pengumuman ini dilakukan sewaktu ucapan penggulungan beliau melalui Perhimpunan Agung UMNO 2010 sebentar tadi)

Aku menyambut baik atas inisiatif Kerajaan yang murni ini. Keputusan itu amat tepat pada masanya. Masih belum terlewat untuk kita membetulkan keadaan semasa.

Selama ini mata pelajaran Sejarah kurang difahami dan diminati oleh kebanyakan rakyat jelata. Mungkin kerana cara penyampaiannya atau pendokumentasian yang kurang berkesan?

Akibatnya, ramai yang kurang faham tentang sejarah tanah air ini. Khususnya, buat generasi muda pasca merdeka.

Justeru, aku berharap agar Kerajaan dapat menambah baik, menilai dan menafsirkan semula segala pengisian sejarah dengan fakta yang lebih kukuh dan tepat.

Apa yang berlaku tetap menjadi sejarah. Meskipun pahit untuk ditelan. Meskipun sejarah tidak memihak kepada sesetengah bangsa.

Ini kerana, pelbagai fakta yang kita pelajari selama ini adalah sebahagiannya merupakan kisah-kisah dongeng yang disumbat masuk oleh rekayasa Penjajah British yang licik! Dengan yang demikian, apa kita pelajari dan percaya selama ini adalah palsu belaka.

Rekayasa ini berlaku sejak British menjarah tanah air ini. Ia menjadi lebih kritikal sejak Nusantara telah dipecahkan menjadi dua (2) wilayah baru melalui pakatan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Hakikatnya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 membawa khabar durjana. Wilayah Nusantara dibahagi-bahagikan antara British dan Belanda. Setelah itu, dipecah perintahkan lagi menjadi negeri-negeri yang kecil. Alam Melayu dilanda Fitnah~!

Selama mana mereka menjajah, rejim British dan Belanda telah melakukan pemerkosaan besar-besaran terhadap sejarah Nusantara.

Banyak Manuskrip lama telah dirompak, disorok, diganyang serta ditokok-tambah dengan begitu rakus sekali. Tidak terkecuali, khazanah, Prasasti tamadun-tamadun Kerajaan Melayu serta Kesultanan Melayu Islam Beraja turut dicabul haknya. Terdapat juga tapak-tapak arkeologi seni bina diubah suai. Demi untuk menafikan kewujudan tamadun Melayu.

Pun demikian, mereka tidak bersendirian. Bahkan, British turut dibantu oleh Thai dan Belanda dalam misi untuk menjahanamkan warisan kegemilangan sejarah-sejarah Melayu di seluruh wilayah Nusantara.

Dahulunya, Bangsa Melayu berada dalam satu wilayah yang besar. Wilayah ini dinamakan sebagai Nusantara. Nusa bermaksud ‘negara’. Antara pula ‘Bangsa' yang mempunyai percampuran darah dari pelbagai bangsa yang akhirnya dikenali; Melayu.

Sejak sebelum tahun Masihi wujud lagi, kedudukan geografi wilayah-wilayah Nusantara pernah menjadi pusat laluan perdagangan maritim Antarabangsa yang merentasi Timur dan Barat.

Nusantara juga sangat dikenali oleh tamadun Mesir, Greek, Rom, Babylon dan China. Mereka menggelarkan salah satu wilayah dalam Nusantara sebagai “Punt atau Puno”. Sejarawan yang lahir di Mesir, Claudius Ptolemy (157 Tahun Masihi; kerakyatan Tamadun Rom di Mesir) menggelarkan tanah Semenanjung sebagai Semenanjung Emas atau 'Aurea Chersonese'.



Walaupun terdapat percubaan untuk merosakkan sejarah Nusantara telah dilakukan oleh pelbagai pihak dari dulu hingga sekarang, namun kebenaran kan bangkit jua~!

Mungkin banyak sudah Manuskrip-Manuskrip lama telah lesap, tetapi sejarah Nusantara masih ada tercatat dalam Tamadun-Tamadun purba; berkenaan hubungan mereka dengan Kerajaan-Kerajaan Maritim yang pernah wujud di Nusantara.

Generasi kita tidak akan mampu memimpin masa depan; jika tidak belajar dari Sejarah.

Monday, October 18, 2010

Adat Melayu # Siri 2

Mengikut sejarah, dikatakan asal-usul Adat Melayu merupakan warisan purba kala sejak dari zaman Iskandar Dzulkarnain. Baginda dianggap sebagai nenek moyang Raja-Raja Melayu.

Iskandar Dzulkarnain merupakan seorang tokoh yang hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S. (lebih kurang 4000 tahun yang lalu). Baginda merupakan seorang Raja yang menakhluki tujuh (7) benua dan tujuh (7) lautan di planet Bumi.

(Hingga kini, tiada siapa yang tahu siapakah gerangan sebenar 'Iskandar Dzulkarnain' . Kerana ia masih menjadi persoalan para pengkaji. Pokoknya, baginda hidup di zaman Nabi Ibrahim A.S. Tiada catatan terperinci mengenainya, melainkan Al-Qur'an).

Iskandar Dzulkarnain pernah sampai ke wilayah Nusantara. Tanah terakhir yang pernah dijejaki oleh Baginda ialah Tanah Andalas (Palembang, Sumatera). Baginda merupakan moyang kepada Demang Lebar Daun, yang menjadi Raja di Negeri Palembang. Asal usul 'Melayu' bermula pada zaman itu.

Demang Lebar Daun merupakan tokoh pemimpin Melayu terawal yang menggagaskan Adat Melayu. Bahasa Melayu mulai berkembang pada zamannya. Baginda juga mewariskan semua Bendahara yang menjadi Raja-Raja selepas kemangkatannya. Maksudnya, sebelum pangkat 'Sultan' digunapakai, (bermula ketika era Islam), Raja-Bendahara merupakan pemerintah asal di wilayah-wilayah Nusantara. Asal Melayu juga, Bendahara yang memulakannya.

Perkembangan Islam di wilayah-wilayah Nusantara bermula akhir tahun 700 Masihi. Ia bermula dari kegiatan perdagangan antarabangsa yang melibatkan Tanah Arab, China dan India. Perkembangan Islam turut berkembang melalui perkahwinan campur. Antara wilayah terawal yang menerima Islam adalah Empayar Kedah Tua dan Pasai (Acheh).

Begitulah sejarahnya secara ringkas. Sebenarnya panjang lagi untuk ditulis. Berbalik kepada Adat melayu.

Pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Adat Melayu mulai saling melengkapi. Maksudnya, ia berteraskan dua (2) sendi:

1- HUKUM ADAT; Meliputi Kanun (peraturan turun-temurun oleh pemerintah), Resam (kelaziman), Faham (logika) dan Adat Istiadat.

2- HUKUM SYARIAT; ajaran agama Islam.

Sambung - Siri ke-3 kelak

P/S: Kebanyakan sumber-sumber idea yang saya dapati adalah melalui rujukan karya (Tun) Suzana (Tun) Hj Othman, Manuskrip Undang-Undang Kedah dan sejarah-sejarah lain.

Friday, October 15, 2010

Adat Melayu # Siri 1

Sejak tahun 2008, saya mulai giat mengkaji sejarah Nusantara dengan lebih terperinci dari pelbagai sumber. Apabila menyelusuri sejarah pembinaan negara bangsa, sudah pasti ia juga berkait rapat dengan pemerintahan dan peradaban sesebuah tamadun.

Melaluinya, saya menemukan fakta terpenting yang ada hubung kait dengan Raja-Raja Melayu.

Tahun lepas, saya ada membeli sebuah buku yang dikarang oleh (Tun) Suzana (Tun) Hj. Othman. Yang bertajuk; 'MENJEJAKI WARISAN MELAYU ISLAM BERAJA'. Ia menjadi kelangsungan dari kajian saya sebelum ini. Buku ini dibeli sekadar untuk menambahkan lagi pengetahuan saya berkenaan sejarah tanah air kita.

Saya akan menghuraikan secara ringkas dari sumber beliau mengenai 'Adat Melayu'.

“Adat bersendikan syarak,
Syarak bersendikan kitab Allah SWT,
Syarak mengata, adat memakai,
Cermin yang tidak kabur,
Pelita yang tidak padam,”

Di sini saya sampaikan perbilangan adat yang menjadi teras kepada pemerintahan masyarakat Melayu Islam tradisi sejak berzaman. Sejak bilakah ia bermula...?

Tunggu dan nantikan huraian dalam siri kedua :)

Sunday, October 10, 2010

Berkawan

Rasulullah SAW bersabda:

"Berkawan dengan orang pinta seperti berdiri di sisi penjual minyak wangi. Kalau tak dapat minyaknya, paling kurang tercium wanginya. Bergaul dengan orang jahil seperti berdiri di sisi tukang besi. Kalau tak kena baranya, paling kurang kena asapnya,"

(Riwayat Muslim no. 2628)