
Aku baharu sahaja selesai menonton tayangan telemovie 'Kashaf Imani' di Astro Ria sebentar tadi. Tayangan nya bermula dari 9.00 malam - 11 malam. Bisa aku tafsirkan, ia merupakan karya seni terhebat yang pernah aku saksikan di tahun 2011 setakat ini.
Di samping perjalanan cerita yang sungguh mengasyikkan, lagu latar Kekasih Gelapku yang dipopularkan oleh Ungu, band dari Indonesia membuatkan fikiranku terbang melayang. Aku terkesan.
Aku fikir, sesiapa sahaja yang menonton sepanjang dua (2) jam itu pasti merasai suasana yang sama. Bagaikan berada di tempat mereka. Ia membuktikan betapa akrabnya kita dengan watak-watak tersebut. Hingga kita merasakan seolah-olah kita juga menghirup udara yang mereka hirup, berteduh di bawah langit yang sama, melihat sinar matahari dan cahaya bulan yang satu (1).
Manakan tidak, segala kisah yang dipaparkan sebenarnya dekat di hati masyarakat Malaysia. Kita pasti merasa kasihan melihat kisah-kisah manusia yang kurang bernasib baik terpaksa membesar dalam keadaan yang berbeza. Mungkin tidak berlaku kepada kita, tetapi kisahnya dapat memberi iktibar. Dari segi apa...?
Peluang kedua daripada Allah SWT. Persoalannya, bisakah kita mendapat peluang kedua untuk kembali hidup, di saat sakaratul maut menanti kita...? Kerana kita pernah diberikan peluang oleh Allah SWT tetapi kita leka dengan segala kenikmatan hidup yang hanya sementara. (ulasan lanjut di penghujung kelak)
Sesungguhnya, lakonan Sharifah Amani dan Beto Kushairy amat hidup. Dibantu pula dengan watak sampingan Wan Sharmila dan lain-lain lagi. Mereka berjaya menghiasi drama tersebut dengan persembahan seni yang mantap!
Di sini, aku khabarkan sinopsis karya ini.

Ia berkisar tentang sebuah keluarga yang porak peranda tanpa pegangan hidup, yakni agama. Rosnah (ibu) berkerja sebagai GRO bagi menyara kehidupan bersama kedua (2) orang anaknya; Kashaf (Beto Kushairy) dan Shamim (Wan Sharmila). Mereka tinggal di sebuah flat.
Kashaf merupakan seorang remaja yang bermasalah. Kerjayanya mengedar dadah sejak berhenti sekolah semasa Darjah Empat (4).
Shamim pula seorang pelajar Kolej di kota metropolitan Kuala Lumpur yang turut terjebak dengan gejala sosial.
Imani (Sharifah Amani) pula merupakan seorang tokoh rekaan yang secara zahirnya baik dan memiliki pegangan agama. Pada masa yang sama, dia seorang gadis yang baik hati dan pemalu.
Imani tinggal bersama neneknya di kawasan perumahan flat yang sama dengan Kashaf. Keistimewaan yang terdapat pada dirinya ialah; bisa melihat alam roh yang dia tidak sedari selama ini. Maksudnya di sini, pandangan hijabnya terbuka.
Imani selalu berselisih lalu dengan Kashaf sewaktu di flat. Dia gemar mengutip segala barang yang dibuang merata tempat oleh Kashaf yang tidak berdisiplin itu. Barang-barang kepunyaan Kashaf tersimpan rapi di dalam sebuah tin biskut Merry.
Jauh di sudut hati, Imani memiliki perasaan terhadap Kashaf. Kadangkala, dia mengambil foto secara senyap-senyap tanpa disedari oleh Kashaf dengan telefon bimbitnya. Namun, dia malu untuk menyatakan perasaan cintanya kepada Kashaf.
Pun begitu, takdir merubah segalanya. Ia berlaku ketika neneknya sedang mengemas biliknya, lalu terjumpa tin itu. Makanya, dia buang tin tersebut...
Seorang sahabat baik kepada Kashaf mengutip tin itu. Lalu dia simpan di dalam kabinet mini, tempat sahabatnya itu berniaga jual burger.
Suatu ketika, Kashaf datang untuk melepak di situ. Lalu dia melihat tin tersebut dan membukanya. Apa yang dia lihat...? Botol wangian Calvin Klien, gambar dirinya serta lakaran kertas tentang perasaan cinta kepadanya.
Satu (1) malam, Imani hendak membeli dua (2) biji burger. Kerana lapar. Pada masa yang sama, dia berdekatan dengan Kashaf. Dia hanya perhatikan Kashaf dari jauh sahaja.
Pun begitu, Kashaf tidak menyedari kehadiran Imani, kerana asyik melayan sms. Mungkin sedang memikirkan tentang bisnes jual dadah yang menguntungkan? Hehe!
Tatkala masa menjemput pulang, Imani berlalu pergi. Sahabat Kashaf mengkhabarkan kepada Kashaf yang Imani asyik melihatnya sebentar tadi. Owh, apakah benar...?
Apa lagi, Kashaf bergegas. Mengejar Imani yang sudah naik tangga bangunan flat. Segerlah dia menyerahkan tin biskut itu kepada Imani.

Malam itu, mereka melepak di bumbung flat. Kashaf cuba merungkaikan persoalan yang terbuku di hati Imani. Dengan bertanya, apakah benar Imani menjadikan dirinya sebagai pujaan hati?
Imani tidak mahu mengaku, dek perasaan malu membaluti hati.Sebenarnya, Kashaf juga jatuh hati padanya.
Seterusnya....dipendekkan cerita. Satu (1) hari, Nasib malang menimpa Kashaf. Dirinya telah dipukul oleh tiga (3) penjahat kerana kes dadah tidak sampai kepada pembeli. Sebenarnya, dia difitnah. Kashaf tidak mahu mengaku kerana dia tidak terlibat. Lalu, dia ditikam dan koma.

Sewaktu tidak sedarkan diri, roh Kashaf berjalan. Dari situ, dia melihat dirinya terlantar di hospital.
Sepanjang waktu itulah Kashaf insaf. Dia berharap agar Allah SWT memberikannya peluang kedua (2) untuk kembali hidup. Kerana dia berasa amat berdosa kepada ibu dan adiknya. Sebelum kejadian, dia telah menderhaka kepada ibunya.

Di saat ini, hanya Imani sahaja yang dapat melihat roh Kashaf. Kashaf menggunakan peluang itu dengan memohon bantuan Imani sebagai perantaraan. Dia menyatakan kepada Imani agar ibu dan adiknya segera bertaubat.

Sewaktu berada dalam nazak, klimaks cerita ini makin lama semakin jelas. Peranan Imani hadir sebagai 'Sang Penyelamat' ibarat penyampai hidayah kepada Kashaf dan keluarganya.
Ironinya, Imani adalah 'Sang Kehidupan' kepada diri Kashaf. Pencetus kekuatan daripada seorang yang bernama wanita.
Kesimpulannya, Allah SWT itu Maha Pengasih (Ar-Rahmaan) dan Maha Penyayang (Ar-Rahiim). Kerana, masih belum terlambat bagi sesiapa yang ingin mendekatkan diri padaNya. Allah SWT pasti memberikan peluang dengan kehendakNya.
Mesejnya jelas terdapat dalam dua (2) surah yang harus direnungi;
Al-Insyirah dan Al-Dhuha.
Kedua, doa kasih sayang ibu tiada hijab di sisi Allah SWT. Serta doa-doa daripada para Solihin pasti diangkat ke langit dengan ketentuanNya.
InsyaAllah~!